PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
عَنْ ابْن عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - بِمَنْكِبِي وَقَالَ: "كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّك غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ". وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ: إذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِك لِمَرَضِك وَمِنْ حَيَاتِك لِمَوْتِك.
Daripada Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW memegang kedua bahuku seraya bersabda: "Hiduplah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara", Ibnu Umar berkata: “Jika engkau berada di pagi hari, jangan tunggu sampai petang hari. Jika engkau berada di petang hari, jangan tunggu sampai pagi. Manfaatkanlah waktu sihatmu sebelum datang sakitmu. Manfaatkanlah waktu hidupmu sebelum datang matimu.” (HR Bukhari No: 6416) Status: Hadis Sahih
Pengajaran
1. Bersegeralah kita mengerjakan pekerjaan yang baik dan memperbanyak ketaatan, tidak lalai dan menunda-nunda untuk beramal kerana kita tidak tahu bila datangnya ajal.
2. Gunakanlah segala kesempatan dan peluang melakukan amal soleh sebelum ia hilang berlalu dan kita terlepas peluang. Moga Ramadan tahun ini kita gunakan sebaiknya untuk melipat gandakan amal ibadah kerana kita tak pasti tahun depan bertemu lagi atau tidak.
3. Jadilah seperti pengembara yang sentiasa menyediakan bekalan untuk memastikan bekalan sepanjang pengembaraan sentiasa mencukupi. Sediakanlah bekalan amal solleh secukupnya untuk bertemu Allah di hari Kiamat.
4. Sentiasa berhati-hati terhadap siksaan azab Allah adalah sikap seorang musafir yang sentiasa berwaspada agar tidak tersesat daripada landasan jalan yang benar.
5. Berhati-hati dari kawan yang buruk akhlaknya. Jangan kerana terpengaruh dan percaya segala khabar yang disampaikan seperti melalui massage yang ditularkan sehingga menjadi penghalang kita menjadi soleh.
6. Pekerjaan didunia dituntut untuk menjaga jiwa dan mendatangkan manfaat, setiap muslim hendaklah menggunakan kesempatan dan amal di dunia itu untuk tujuan akhirat.
7. Bersungguh-sungguh menjaga waktu dan mempersiapkan diri untuk kematian dan bersegera bertaubat serta beramal soleh.
8. Rasulullah SAW memegang kedua bahu Abdullah bin Umar, bertujuan agar dia fokus tentang apa yang akan disampaikan. Menunjukkan bahawa seorang pelajar sewajarnya memberi perhatian kepada apa yang akan diajar oleh gurunya agar ia dapat difahami dan diamalkan.
07hb Februari 2023
16hb Rejab 1444H
Tidak ada komentar:
Posting Komentar