Jumat, 10 Februari 2023

Pengembara Yang Merebut Peluang

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS




عَنْ ابْن عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - بِمَنْكِبِي وَقَالَ: "كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّك غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ". وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ: إذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِك لِمَرَضِك وَمِنْ حَيَاتِك لِمَوْتِك.

Daripada Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW memegang kedua bahuku seraya bersabda: "Hiduplah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara", Ibnu Umar berkata: “Jika engkau berada di pagi hari, jangan tunggu sampai petang hari. Jika engkau berada di petang hari, jangan tunggu sampai pagi. Manfaatkanlah waktu sihatmu sebelum datang sakitmu. Manfaatkanlah waktu hidupmu sebelum datang matimu.” (HR Bukhari No: 6416) Status: Hadis Sahih

Pengajaran

1.  Bersegeralah kita mengerjakan pekerjaan yang baik dan memperbanyak ketaatan, tidak lalai dan menunda-nunda untuk beramal kerana kita tidak tahu bila datangnya ajal.

2.  Gunakanlah segala kesempatan dan peluang melakukan amal soleh sebelum ia hilang berlalu dan kita terlepas peluang. Moga Ramadan tahun ini kita gunakan sebaiknya untuk melipat gandakan amal ibadah kerana kita tak pasti tahun depan bertemu lagi atau tidak.

3.  Jadilah seperti pengembara yang sentiasa menyediakan bekalan untuk memastikan bekalan sepanjang pengembaraan sentiasa mencukupi. Sediakanlah bekalan amal solleh secukupnya untuk bertemu Allah di hari Kiamat.

4.  Sentiasa berhati-hati terhadap siksaan azab Allah adalah sikap seorang musafir yang sentiasa berwaspada agar tidak tersesat daripada landasan jalan yang benar.

5.  Berhati-hati dari kawan yang buruk akhlaknya. Jangan kerana terpengaruh dan percaya segala khabar yang disampaikan seperti melalui massage yang ditularkan sehingga menjadi penghalang kita menjadi soleh.

6.  Pekerjaan didunia dituntut untuk menjaga jiwa dan mendatangkan manfaat, setiap muslim hendaklah menggunakan kesempatan dan amal di dunia itu untuk tujuan akhirat.

7.  Bersungguh-sungguh menjaga waktu dan mempersiapkan diri untuk kematian dan bersegera bertaubat serta beramal soleh.

8.  Rasulullah SAW memegang kedua bahu Abdullah bin Umar, bertujuan agar dia fokus tentang apa yang akan disampaikan. Menunjukkan bahawa seorang pelajar sewajarnya memberi perhatian kepada apa yang akan diajar oleh gurunya agar ia dapat difahami dan diamalkan.




07hb Februari  2023
16hb Rejab 1444H

Miliki Sifat Santun dan Malu

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS




حَدَّثَنَا يُونُسُ قَالَ زَعَمَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي بَكْرَةَ قَالَ قَالَ أَشَجُّ بْنُ عَصَرٍ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ فِيكَ خُلَّتَيْنِ يُحِبُّهُمَا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ قُلْتُ مَا هُمَا قَالَ الْحِلْمُ وَالْحَيَاءُ قُلْتُ أَقَدِيمًا كَانَ فِيَّ أَمْ حَدِيثًا قَالَ بَلْ قَدِيمًا قُلْتُ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَبَلَنِي عَلَى خُلَّتَيْنِ يُحِبُّهُمَا

Telah menceritakan kepada kami Yunus ia berkata, Abdurrahman bin Ubay berkata, Asyajj bin Ashr berkata, "Rasulullah SAW bersabda kepadaku: "Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua sifat yang keduanya dicintai oleh Allah 'azza wajalla." Saya bertanya, "Sifat apakah itu?" baginda menjawab, "Al Hilm (santun, tidak mudah marah) dan rasa malu." Saya bertanya lagi, "Apakah kedua sifat itu telah ada padaku sejak lama atau baru melekat?" baginda menjawab: "Sejak lama." Saya berkata, "Segala puji Allah yang telah memberiku dua sifat yang dicintai-Nya." (Musnad Ahmad No: 17160) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dua sifat yang dicintai Allah kepada pemiliknya:

a.  Al-Hilm iaitu sifat santun, mampu menahan emosi atau tidak mudah marah
b.  Malu iaitu sifat yang mendorong seseorang untuk meninggalkan segala keburukan sama ada  perkataan, perbuatan dan sikap yang dapat mencegah dirinya dari kelalaian.

2.  Antara bentuk malu:

a.  Malu melakukan kejahatan seperti mengadu domba
b.  Malu kerana merasa lemah
c.  Malu kepada diri sendiri

3.  Malu itu punca dari iman. Hadis Rasulullah SAW:

اَلحَيَاءُ والإِيمَانِ قُرَنَاءُجَمِيعًا  فَإِذَا رَفَعَ أَحَدَهُمَارَفَعَ الآخَرَ

Rasa malu dan iman adalah sama, apabila salah satu daripadanya hilang, maka yang lain akan hilang juga (HR al-Hakim dan Tabrani)

4.  Milikilah iman yang sempurna dengan sifat malu untuk berbuat dosa seperti dosa mengadu domba dan membuat fitnah.

5. Marilah kita miliki sifat hilm mampu menahan emosi atau tidak mudah marah dan malu yang dicintai Allah.



09hb Februari  2023
18hb Rejab 1444H