Selasa, 14 Maret 2023

Solat Sunat Zohor

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS




عن أم حبيبة رضي الله عنها قالت: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: مَنْ حَافَظَ عَلَى أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَأَرْبَعٍ بَعْدَهَا حَرُمَ عَلَى النَّارِ

Daripada Ummu Habibah RA, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW  bersabda: “Barangsiapa menjaga solat 4 rakaat sebelum zuhur dan 4 rakaat sesudahnya, maka Allah mengharamkan neraka baginya.” (HR Tirmidzi no: 428) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Hadis ini menerangkan kelebihan orang yang mengerjakan solat sunat 4 rakaat sebelum dan sesudah zuhur.

2.  Orang yang menjaga secara konsisten solat sunat empat rakaat sebelum dan selepas solat fardhu Zohor, akan dijauhkan daripada api neraka.

3.  Dalam hadis yang lain, daripada Abdullah bin As-Saib, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW  menunaikan solat 4 rakaat setelah waktu zawal (matahari gelincir ke barat) atau disebut rawatib qabliyah zuhur (solat sunat sebelum solat zuhur).  Baginda SAW bersabda,

إِنَّهَا سَاعَةٌ تُفْتَحُ فِيهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَأُحِبُّ أَنْ يَصْعَدَ لِى فِيهَا عَمَلٌ صَالِحٌ

“Ini adalah waktu dibukakannya pintu langit. Aku suka jika amalan solehku naik pada waktu itu.” (HR. Tirmidzi, no. 478). Status hadis hasan.





15hb Mac 2023
22hb Syaaban 1444H

Jumat, 10 Maret 2023

Golongan Yang Dijauhkan Dari Syurga

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS




عَنْ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ خَبٌّ وَلَا بَخِيلٌ وَلَا مَنَّانٌ وَلَا سَيِّئُ الْمَلَكَةِ وَأَوَّلُ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ الْمَمْلُوكُ إِذَا أَطَاعَ اللَّهَ وَأَطَاعَ سَيِّدَهُ

Daripada Abu Bakar Ash Shiddiq RA dari Nabi SAW, beliau bersabda: "Tidak akan masuk syurga seorang penipu, orang yang bakhil, orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya dan pemimpin yang berperangai buruk. Orang yang pertama kali akan masuk syurga adalah hamba  yang taat kepada Allah dan kepada tuannya (majikannya)." (HR Ahmad No: 32) Status: Isnad Maqbul

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW memberi amaran kepada umatnya dengan ancaman tidak akan masuk syurga kepada mereka yang mempunyai ciri-ciri berikut:

a.  Orang yang menipu

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي مَنۡ هُوَ مُسۡرِفٞ كَذَّابٞ ٢٨

Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi penipu (al-Ghafir: 28).

b.  Orang yang bakhil

عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ قَالَتْ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي مِنْ بَيْتِي إِلَّا مَا أَدْخَلَ عَلَيَّ الزُّبَيْرُ أَفَأُعْطِي قَالَ نَعَمْ وَلَا تُوكِي فَيُوكَى عَلَيْكِ يَقُولُ لَا تُحْصِي فَيُحْصَى عَلَيْكِ

Daripada Asma' binti Abu Bakar RA ia berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tidak memiliki sesuatu kecuali apa yang diberikan oleh Zubair kepadaku, apakah aku harus bersedekah dengannya?" Nabi menjawab: "Ya, dan janganlah engkau bakhil, (jika engkau bakhil) maka Allah akan bakhil kepadamu.  (Sunan Tirmidzi No: 1883) Hadis Hasan Sahih.

c.  Orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُم بِالْمَنِّ وَالْأَذَىٰ

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti (perasaan si penerima).”  (Al-Baqarah: 264).

d.  Pemimpin yang berperangai buruk (pemimpin yang menjauhkan rakyat daripada kehidupan yang sejahtera)

Jadilah kita pemimpin yang benar-benar mengutamakan rakyat di bawah. Janganlah kerana kepentingan kedudukan dan pangkat, kita sanggup menyusahkan rakyat.

2.  Orang yang pertama kali akan masuk syurga adalah hamba  yang taat kepada Allah dan kepada tuannya (majikannya).

3.  Jauhilah perangai penipu, bakhil, suka mengungkit pemberiannya dan berperangai buruk.





02hb Mac 2023
09hb Syaaban 1444H

Sabtu, 04 Maret 2023

Amalan Pintu Kebaikan

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS


عَنْ مُعَاذٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَأُنَبِّئُكَ بِأَبْوَابٍ مِنْ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ وَقِيَامُ الْعَبْدِ مِنْ اللَّيْلِ

Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW bersabda; "Aku akan memberitahu kepadamu pintu-pintu kebaikan iaitu; puasa adalah perisai, sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api, dan seorang hamba bangun (qiamullail) di malam hari. (Musnad Ahmad No: 21628). Dar Ihya Turath Arabiy. Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Nabi SAW  menyampaikan pesanan tentang pintu-pintu kebaikan kepada umatnya iaitu Ibadat puasa, sedekah dan qiamullail.

2.  Pintu kebaikan pertama ialah Ibadat puasa. Puasa menjadi benteng atau perisai kepada seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Puasa adalah perisai yang akan melindungi daripada kehancuran jiwa, kerosakan perjalanan hidup, melindungi diri daripada terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memiliki sifat sabar.

3.  Puasa juga menjadi perisai memberikan keteguhan hati dalam bertakwa kepada Allah. Puasa adalah perisai seseorang dari api neraka. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّمَا الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدُ مِنَ النَّارِ

Puasa adalah perisai yang dapat melindungi seorang hamba dari siksa neraka” (HR Ahmad No: 3868 dalam sahih al-Jami’).

4.  Persiapkanlah diri dengan mula berpuasa sunat pada bulan  Syaaban ini. Moga akan memudahkan kita melaksanakannya pada bulan Ramadan yang menjelang tiba. Semoga ibadat puasa menjadi perisai buat kita dari api neraka.

5.  Pintu kebaikan kedua ialah bersedekah. Sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api. Kita dianjurkan bersedekah khususnya kepada mereka yang memerlukan seperti derma kepada mereka yang terkesan akibat musibah banjir, gempa bumi dan lain-lain.

6.  Ambillah kesempatan untuk menyumbang dan menderma. Semoga sumbangan kita menjadi pelebur dosa dan penghindar kita dari api neraka. Sabda Nabi SAW:

اِتَّقُوا النَّارَوَلَوبِشِقِّ تَمْرَةٍ

Hindarilah neraka meskipun dengan sebelah biji korma. (Sahih Bukhari No: 5677) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

7.  Pintu kebaikan ketiga adalah menghidupkan malam dengan Qiamullail. Antaranya dengan melaksanakan solat sunat malam, memperbanyakkan zikir dan munajat kepada Allah. Semoga amalan ini  mampu membina kekuatan rohani kita.

Marilah kita melaksanakan amal-amal  yang menjadi antara pintu kebaikan iaitu membanyakkan puasa sunat, bersedekah dan qiamullail.



23hb Februari  2023
02hb Syaaban 1444H

Pengunjung Masjid Dijanjikan Tempat Tinggal Di Syurga

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS



عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ وَرَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ نُزُلَهُ مِنْ الْجَنَّةِ كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Daripada Abu Hurairah dari Nabi SAW bersabda: "Barangsiapa datang ke masjid di pagi dan petang hari, maka Allah akan menyediakan baginya tempat tinggal yang baik di syurga setiap kali dia berangkat ke masjid di pagi dan petang hari." (HR Bukhari No: 622) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Isra dan Mikraj yang berlaku di bulan Rejab kepada baginda Nabi SAW mengingatkan kita tentang keutamaan masjid dan bermulanya kewajipan solat waktu.

2.  Orang yang pagi dan petang hari sentiasa ke Masjid, Allah akan menyediakan untuknya tempat tinggal yang baik di syurga.

3.  Satu daripada golongan yang mendapat naungan di sisi Allah dihari kiamat ialah lelaki yang hatinya sentiasa tertambat di masjid kerana mengimarahkannya. Sesuai dengan hadis Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ تَعَالَى فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لاَظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ.... وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ.....

“Tujuh golongan manusia yang dilindungi Allah di hari yang tidak ada perlindungan pada hari kiamat melainkan perlindungan Allah: …….. lelaki yang hatinya sentiasa tertambat kepada masjid…” (HR Bukhari No: 620)

Menjadi tanggungjawab kita khususnya kaum lelaki untuk menunaikan solat fardhu di masjid sebagai satu cara mengimarahkannya.



17hb Februari  2023
26hb Rejab 1444H